Hari yang dinantikan sudah pun kunjung tiba. Pagi itu, setibanya Zaraa ke pejabat, sebuah kotak hadiah berserta sekeping kad sudahpun berada di atas mejanya. Lantas kad itu dibuka dan dibaca.
mekar mawar yang kau tanam di hatiku,
tercium wangi semerbak,
lambangkan segala sayang dan cinta,
hanyalah untukmu seorang,
selama nafas ini masih ada,
selama jantung ini masih berdenyut,
aku akan mencintaimu dan membahagiakanmu
memilikimu adalah suatu perkara yang indah dalam hidupku,
I LOVE YOU, ZARAA..
kita jumpa malam ni di restoran yang sama, tepat jam 9 malam
p/s: awak pakailah baju yang saya hadiahkan ni masa kita jumpa malam nanti
yang mencintaimu,
~FEQRIL FAHMI~
Dirinya terasa di awangan saat membaca kad yang diberikan oleh Feqril padanya. Inilah kali pertama dirinya jatuh cinta pada seorang insan yang bergelar lelaki. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu mempunyai sifat yang tersembunyi di sebaliknya sikap dinginnya selama ini. Kini hatinya betul-betul telah jatuh cinta pada jejaka yang bernama Feqril. Malam ini dia bakal memberikan jawapan yang tepat buat Feqril.
Seperti yang dijanjikan, Zaraa datang pada tepat jam 9 dengan gaun labuh yang indah lagi menawan dengan rambutnya yang disanggul kemas. Ketika itu, seorang pelayan sedang menunggu kedatangannya. Pelayan itu kemudiannya menunjukkan tempat yang telah ditempah khas oleh Feqril. Setelah dipersilakan, Zaraa kemudiannya duduk sambil menunggu kedatangan Feqril.
5 minit kemudian, Feqril datang dengan membawa sejambang bunga rose. Zaraa terpegun seketika. Dengan mengenakan pakaian yang agak kasual, Feqril nampak segak di matanya malam ini. Begitu juga Feqril, matanya tidak lepas memandang Zaraa. Gaun yang dihadiahkannya buat Zaraa pagi tadi nampak cantik di tubuh lansing gadis itu.
"Zaraa nampak cantik malam ni," desis hatinya.
Zaraa nampak malu-malu bila ditenung sebegitu rupa oleh Feqril. Terasa renungan itu menusuk masuk ke dalam kalbunya. Masing-masing sedang menahan debar di dada. Untuk menghilangkan rasa debar yang mula menguasai jiwanya, Feqril memulakan bicara.
" Terima kasih kerana sudi keluar makan malam dengan saya malam ni. Awak nampak cantik malam ni, Zaraa. Bunga ni untuk awak," puji Feqril lalu memberikan jambangan bunga ros merah yang berada di tangannya kepada Zaraa.
"Sama-sama tuan. Tuan pun apa kurangnya. Terima kasih kerana sudi mempelawa saya keluar makan malam dengan tuan dan terima kasih jugak kerana hadiahkan saya gaun yang cantik ni," ucap Zaraa dengan malu-malu.
"Sama-sama Zaraa. Panggil saja saya Feq," kata Feqril sambil tersenyum.
Zaraa hanya tersenyum malu. Ketika itu, seorang pelayan datang membawa menu istimewa untuk mereka berdua. Masing-masing diam seribu bahasa sambil menikmati makan malam. Seketika itu, Zaraa memulakan bicara.
"Feq, saya dah buat keputusan dan saya harap Feq terima dengan hati yang tenang," jelas Zaraa dengan penuh debar.
"Apa keputusan awak Zaraa?" soal Feqril dengan hati yang berdegup kencang.
Zaraa mengeluarkan sebuah kotak baldu berwarna merah yang berisi cincin yang diberikan oleh Feqril tempoh hari.
"Saya pulangkan cincin ni kepada awak balik," kata Zaraa.
"Tapi Zaraa, saya betul-betul cintakan awak Zaraa. Nilah kali pertama saya betul-betul jatuh cinta pada seorang gadis," ujar Feqril dengan nada gusar.
"Saya tahu Feq, tapi saya terpaksa buat keputusan begini untuk kebaikan kita berdua," terang Zaraa.
"Betul ke awak memang tak nak jadi kekasih saya?" soal Feqril lagi.
"Ya Feq, tapi saya bagi awak satu peluang," ujar Zaraa sambil tersenyum manis.
"Peluang apa Zaraa?" soal Feqril dengan penuh tanda tanya.
"Kalau Feq betul-betul cintakan saya, Feq jumpalah kedua ibu bapa saya. Minta restu dari mereka. Saya tak nak kita menjalinkan hubungan tanpa pengetahuan mereka. Biarlah semuanya halal di mata Allah dan direstui oleh kedua ibu bapa kita," terang Zaraa.
"Baiklah, kalau begitu biar saya berbincang dengan ibu bapa saya dulu. Selepas itu, saya akan hantar rombongan meminang ke rumah awak," ujar Feqril dengan bersungguh-sungguh.
Zaraa tersenyum apabila mendengar kata-kata Feqril tadi. Dalam hatinya berdoa, semoga Feqril menjadi jodoh terbaik buatnya.
No comments:
Post a Comment